Sunday, April 26, 2009

Hari Bersama Pelanggan

Orang ramai khususnya masyarakat di daerah Jasin dan sekitarnya dipelawa menyertai program Hari Bersama Pelanggan di Perpustakaan JAPERUN Bemban pada 18 April ini.

Program yang akan bermula pada jam 8 pagi itu adalah anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Perpustakaan JAPERUN Bemban.

Pengerusi PERPUSTAM, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip berkata, program perpustakaan JAPERUN DUN Bemban itu adalah kali ketiga selepas program yang sama diadakan di Perpustakaan Cawangan Jasin dan Alor Gajah.

Menurutnya, matlamat utama program itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai khususnya penduduk di kawasan sekitar mengetahui perkhidmatan yang disediakan PERPUSTAM kepada mereka.“Program ini juga secara tidak langsung akan dapat memberi peluang kepada kakitangan PERPUSTAM mendekatkan diri dengan masyarakat sekitar, di samping mendapatkan maklum balas mengenai mutu pekhidmatan PERPUSTAM,”katanya.

Menurut Ab. Wahab, serentak dengan majlis itu, turut diadakan beberapa aktiviti yang antara lain bertujuan menguji minda terutama kepada anak-anak serta pelajar sekolah menengah.Katanya, antara aktiviti menarik yang disediakan termasuklah Kuiz Perpustakaan, Semarak Jawi dengan beberapa pengisian seperti mewarna, mengeja, menulis, pertandingan kolaj dan mencipta pantun dalam tulisan Jawi.

“Turut diadakan pameran dari bas perpustakaan E-Pustaka, pameran perpustakaan dan pameran kesihatan, LPPKN, pendaftaran keahlian perpustakaan dan ceramah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),”katanya.Ab.

Wahab berkata, turut juga diadakan ialah pertandingan gubahan bunga, pertandingan permainan tradisional seperti capteh dan batu seremban serta program karaoke lagu asli bersama Deejay Anda.

“Pengunjung yang datang juga turut berpeluang memenangi hadiah cabutan nama pengunjung bertuah, memenangi hadiah peraduan teka berat majalah, peraduan ingatkah dan di samping boleh membeli barangan jualan kelab sukan perpustakaan,”katanya

Thursday, April 9, 2009

SPCA didik pemilik sayangi haiwan

Pembabitan Persatuan Menolong Haiwan Melaka (SPCA Melaka) dalam program ‘A Better Tomorrow Starts With Us’ adalah bertujuan mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab terhadap haiwan pe-liharaan mereka.

Pengerusi SPCA Melaka, Vincent Low berkata, ini kerana masih terdapat sebilangan pemilik yang mengabaikan atau mendera haiwan peliharaan mereka. Menurutnya, seorang pemilik yang bertanggungjawab bukan sahaja tidak mendera haiwan mereka secara fizikal, tetapi juga akan mengambil langkah perlu untuk mengembiri haiwan peliharaan mereka.

“Ini adalah penting kerana kita sering melihat anak-anak kucing atau anjing dibuang sesuka hati. Haiwan ini tidak boleh melindungi diri mereka sendiri.

Justeru sebagai manusia, kita perlu lebih bertanggungjawab terhadap mereka,” katanya kepada media selepas majlis perasmian kemeja T SPCA Melaka di Dataran Pahlawan Melaka Megamall di sini, malam kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Chua Kheng Hwa.

Selain pameran mengenai tanggungjawab sebagai pemilik haiwan, pelbagai barangan keperluan seperti makanan anjing dan kucing turut dijual pada harga berpatutan semasa kempen itu.

Menurut Vincent, kurangnya penguatkuasaan terhadap pemilik yang mendera haiwan peliharaan mereka dipercayai salah satu sebab mengapa kejadian sebegini masih berlaku.

Menurutnya, walaupun kejadian sebegini tidaklah begitu serius, tetapi ia boleh ditangani sekiranya undang-undang lebih tegas dikuatkuasakan untuk menghukum pemilik terbabit.

“Pada masa ini, satu rang undang-undang dalam proses untuk diluluskan. Apabila ia diluluskan nanti, maka tindakan yang lebih tegas boleh diambil terhadap mana-mana pemilik yang mengabaikan haiwan peliharaan mereka,” katanya.

SM Seri Bemban juara masakan

Sekolah Menengah (SM) Seri Bemban juara Pertandingan Masakan Ikan Air Tawar di pekarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Sebanyak 10 sekolah menengah sekitar Melaka yang menawarkan mata pelajaran vokasional menyertai pertandingan tersebut. Pertandingan bertemakan ‘Asam Pedas Pencarianku’ itu dianjurkan bersama Jabatan Pelajaran Melaka dan Pejabat Pelajaran Daerah Jasin sempena Karnival Pendidikan Melaka 2009.

Penyelaras program, Noora Abu Bakar berkata, program berkenaan bertujuan membentuk pelajar berkebolehan di dalam semua bidang terutama melibatkan kemahiran masakan.

“Selain itu, program ini untuk mewujudkan persaingan sihat di antara sekolah menengah yang menawarkan mata pelajaran vokasional seperti katering dan penyajian makanan,” katanya.

Sementara itu, SM Hang Kasturi, Alor Gajah dan SM Ade Putra, Masjid Tanah, menduduki tempat kedua dan ketiga.