Thursday, April 9, 2009

SPCA didik pemilik sayangi haiwan

Pembabitan Persatuan Menolong Haiwan Melaka (SPCA Melaka) dalam program ‘A Better Tomorrow Starts With Us’ adalah bertujuan mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab terhadap haiwan pe-liharaan mereka.

Pengerusi SPCA Melaka, Vincent Low berkata, ini kerana masih terdapat sebilangan pemilik yang mengabaikan atau mendera haiwan peliharaan mereka. Menurutnya, seorang pemilik yang bertanggungjawab bukan sahaja tidak mendera haiwan mereka secara fizikal, tetapi juga akan mengambil langkah perlu untuk mengembiri haiwan peliharaan mereka.

“Ini adalah penting kerana kita sering melihat anak-anak kucing atau anjing dibuang sesuka hati. Haiwan ini tidak boleh melindungi diri mereka sendiri.

Justeru sebagai manusia, kita perlu lebih bertanggungjawab terhadap mereka,” katanya kepada media selepas majlis perasmian kemeja T SPCA Melaka di Dataran Pahlawan Melaka Megamall di sini, malam kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Chua Kheng Hwa.

Selain pameran mengenai tanggungjawab sebagai pemilik haiwan, pelbagai barangan keperluan seperti makanan anjing dan kucing turut dijual pada harga berpatutan semasa kempen itu.

Menurut Vincent, kurangnya penguatkuasaan terhadap pemilik yang mendera haiwan peliharaan mereka dipercayai salah satu sebab mengapa kejadian sebegini masih berlaku.

Menurutnya, walaupun kejadian sebegini tidaklah begitu serius, tetapi ia boleh ditangani sekiranya undang-undang lebih tegas dikuatkuasakan untuk menghukum pemilik terbabit.

“Pada masa ini, satu rang undang-undang dalam proses untuk diluluskan. Apabila ia diluluskan nanti, maka tindakan yang lebih tegas boleh diambil terhadap mana-mana pemilik yang mengabaikan haiwan peliharaan mereka,” katanya.