Monday, July 28, 2008

Bersih kawasan, elak pembiakan nyamuk

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa, menyeru kepada penduduk di Daerah Jasin agar dapat saling bekerjasama membersihkan kawasan persekitaran rumah mereka bagi mengelakkan pembiakan nyamuk terutama nyamuk Aedes.

“Saya ingin menyeru kepada penduduk di sekitar kawasan ini agar dapat saling bekerjasama membersihkan persekitaran di dalam dan luar kawasan rumah bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes.

“Saya juga mahu komuniti-komuniti ini dapat bergerak aktif dalam menganjurkan gotong-royong di dalam kawasan perumahan mereka bagi mencegah berlakunya pembiakan nyamuk Aedes,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri gotong-royong bersama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Kakitangan SSDC Driving Academy dan juga Jawatankuasa Kuil Mahamaniaman, semalam.

Menurutnya, Pihak Jabatan Kesihatan Daerah Jasin, polis serta Pihak MPJ sedang giat menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk membanteras pembiakan nyamuk Aedes dan pihak kerajaan sememangnya memandang serius mengenai masalah ini terutama apabila demam Chikungunya mula menular di daerah ini.

“Jumlah pesakit yang disyaki terlibat dengan demam yang lebih mirip kepada demam denggi mula meningkat daripada enam kes kepada lapan kes.

“Awal Julai lalu, hanya terdapat enam kes sahaja tetapi pada minggu lepas terdapat penambahan dua kes yang melibatkan pesakit dari Nyalas dan Chinchin.

“Kes pesakit yang mendapat demam denggi pula menunjukkan penurunan iaitu daripada 22 kes pada dua minggu lepas menurun kepada 13 kes minggu lepas dan pada minggu ini ia menurun menjadi sembilan kes sahaja,” katanya.

Chua turut memberitahu setakat ini penyakit demam Chikungunya masih berada di dalam kawalan dan pihak Jabatan Kesihatan turut mengadakan beberapa semburan nyamuk di kawasan-kawasan yang mempunyai kes tertinggi.

“Melalui semburan nyamuk yang dibuat diharapkan ia dapat membantu penduduk setempat dalam usaha menangani masalah ini.

“Pihak Jabatan Kesihatan turut mempunyai sebuah bilik gerakan khas yang mana jika terdapat maklumat tentang sesuatu kawasan yang mempunyai kes, mereka akan bergerak melakukan penyemburan nyamuk di kawasan tersebut,” katanya.

Turut hadir sama pada majlis gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kuil ialah Pengarah SSDC, Karpan Kaliapan dan Pengurus Pemasaran SSDC, S.Sivapirakasm.