Wednesday, March 18, 2009

JKM diminta bantu nasib empat beradik

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan berkaitan hal ehwal kebajikan rakyat miskin diminta tampil membantu meringankan penderitaan yang dialami empat beradik di Kampung Lubuk Kasau, Bemban, di sini.

Kesempitan hidup dan tiada tempat bergantung yang menjadi dilema empat beradik terbabit turut mendapat perhatian pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) apabila Yang Dipertuanya, Murad Husin dan wakil penduduk kampung meluangkan masa melawat adik-beradik terbabit.

Menurut Murad, pihaknya mengambil inisiatif membuat pungutan derma di kalangan Ahli Majlis MPJ selepas beliau mempengerusikan mesyuarat bulanan MPJ semalam, bertujuan menampung keperluan harian kepada keluarga berkenaan.

''Bagi MPJ, kita juga mempunyai peruntukan khas bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga atau pelajar miskin, namun kita akan rujuk terlebih dahulu masalah ini dengan JKM Jasin sebelum tindakan susulan mengenainya diambil," katanya.
Menurutnya, sebelum ini, keluarga empat beradik terbabit ada menerima bantuan bulanan daripada JKM namun ia telah ditarik balik selepas ibu mereka, Maimunah Kasim meninggal dunia akibat penyakit Hepatitis B pada Sabtu lalu.

Namun, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa sudah merujuk perkara tersebut dengan agensi yang berkaitan bagi memohon bantuan bulanan sara hidup untuk empat beradik berkenaan.

Katanya, beliau turut bimbang dengan masa depan Nur Nabila Osman, 17, dan tiga adiknya yang lain selepas datuk mereka, Kasim Maa'rof, 80, tidak mampu memelihara mereka kerana masalah kesihatan dan kesempitan hidup.

''Saya juga berharap empat beradik ini tidak dipisahkan jika sudah ditempatkan di rumah kebajikan kelak, saya dimaklumkan hanya Mohd. Asyraf Osman, 13, dan Nur Fahana, 10, akan diambil oleh pihak JKM.

''Mereka akan ditempatkan di salah sebuah rumah kebajikan di Cheras, Kuala Lumpur, saya harap biarlah, adik-beradik ini diletakkan di rumah kebajikan yang berdekatan dengan tempat tinggal datuk mereka di Jasin," katanya.

Usaha itu, katanya, lebih memudahkan saudara mara dan datuk empat adik -beradik berkenaan melawat mereka kelak dan pada masa yang sama, nasib dan kebajikan mereka lebih terjamin.

''Saya berharap agar agensi yang berkaitan dapat menempatkan Nur Nabila dan adik lelakinya, Mohd. Aidid di sekolah atau kolej yang menawarkan kursus kemahiran vokasional agar mereka mampu berdikari dalam kehidupan kelak," katanya.