Thursday, February 12, 2009

Seminar beri maklumat jaga kesihatan

Seminar Pemakanan Seimbang Tanpa Stres yang dianjurkan Yayasan Angin Ahmar Melaka (YAAM) di sini kelmarin, bertujuan membantu meningkatkan tahap kesihatan penduduk.

Ahli Lembaga Pengarah YAAM, Dr Ihsan Osman berkata, selain meningkatkan tahap kesihatan, objektif utama seminar ini adalah untuk memberi pendidikan kesihatan melalui gaya pemakanan yang seimbang.

Hal ini kerana pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang ingin dimakan dengan tujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan.

“Kesihatan yang baik merupakan aset yang amat berharga dalam kehidupan dan amalan gaya hidup sihat dapat menjana kehidupan keluarga yang lebih bahagia,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemakanan Seimbang Tanpa Stres Menjana Keluarga Bahagia di Balairaya Taman Maju, kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Maju, Abdul Latip Pating, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa, Ketua Wanita UMNO cawangan Taman Maju, Azizah Mamat dan Ketua Pemuda UMNO cawangan Taman Maju, Shahrul Anwar Abdul Aziz.

Lebih 50 penduduk daripada pelbagai bangsa dan kaum hadir mendengar ceramah yang disampaikan pakar dalam bidang pemakanan dan pengurusan emosi. Menurut Dr Ihsan, seminar berkenaan juga dapat membantu penduduk yang hadir untuk meningkatkan kesedaran mengenai kaedah mengurus emosi dan stres dalam kehidupan seharian.

“Ceramah dan taklimat yang disampaikan pakar sebentar dapat membantu dan memberi manfaat kepada penduduk mengenai cara menangani stres,” katanya. Sementara itu, katanya, penghidap angin ahmar sebenarnya masih mempunyai peluang untuk pulih sepenuhnya sekiranya mereka menjalani rawatan yang betul.

Pada masa sama, katanya seminar yang dianjurkan juga turut mendedahkan kepada orang ramai mengenai kaedah untuk mengelak daripada diserang angin ahmar. Sementara itu ADUN Bemban, Chua Kheng Hwa berkata, dalam zaman moden ini, terdapat pelbagai cara disediakan untuk menghilangkan stres.

“Antaranya ialah dengan pergi mendapatkan perkhidmatan di spa, berjoging atau beriadah, berurut atau pergi melancong. “Setiap orang pasti pernah berhadapan dengan masalah stres, jadi ia bergantung kepada individu itu sendiri untuk menanganinya,” katanya.