Wednesday, February 4, 2009

Peniaga diminta jaga kebersihan gerai

Peniaga Medan Selera Water Front di Bandar Baru Jasin 3 diingatkan supaya menjaga kebersihan di persekitaran gerai mereka. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Hussin berkata, pihaknya sudah melawat tempat terbabit untuk mengetahui mengenai masalah yang dihadapi peniaga.

“Daripada lawatan tersebut, kami memohon peniaga supaya menjaga kebersihan makanan, persekitaran serta aspek kemudahan yang disediakan pihak MPJ.

“MPJ yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa, mengadakan perjumpaan dan berdialog bersama-sama peniaga di situ.

“Mengenai masalah tempat meletak tong gas di belakang gerai mereka, kita akan berusaha membantu dan sudah sepakat untuk berbincang dengan pihak Shell mengenai masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Dijangkakan masalah ini akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun ini juga,” katanya. Dalam perkembangan lain, menurutnya, terdapat beberapa faktor menjadi punca medan selera tersebut kurang mendapat sambutan.

“Antara faktor yang dikenal pasti ialah kurangnya pelanggan yang datang makan digerai terbabit selain kurangnya papan tanda yang menyatakan terdapat medan selera di kawasan itu.

“Terdapat banyak kemudahan asas seperti tandas awam, telefon awam dan kedai runcit di sediakan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak MPJ sendiri akan menambah beberapa lagi papan tanda bagi membolehkan orang ramai datang ke medan selera itu.

Sebelum ini, Sinar Harian pada 1 Januari lalu menyiarkan masalah peniaga yang mahu tempat meletakkan tong gas di belakang gerai mereka dialihkan memandangkan tempat itu tidak lagi digunakan.

Tempat letak tong gas itu digunakan untuk menyimpan tong gas yang besar tetapi kebanyakan peniaga di medan selera itu tidak lagi memasak menggunakan tong gas yang besar.

Tempat letak tong gas itu dikatakan mencemarkan pemandangan pelanggan yang datang ke medan selera itu.

Sebelum ini, peniaga di medan selera itu pernah menghantar surat kepada pihak MPJ pada awal tahun lalu mengenai permasalahan mereka yang tidak mendapat tindakan susulan.