Wednesday, February 11, 2009

JASA Salur Dana Anjur

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menyumbang sebahagian besar dana dalam penganjuran program -program sempena sambutan Tahun Baru Cina (TBC) 2009 yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Bemban, Bukit Baru dan Klebang.

Antara program-program sambutan yang diadakan termasuklah Majlis sumbangan fakir miskin dan warga emas ceria sempena TBC 2009 di Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tengkera, pada 22 Januari lalu.Selain itu, JASA turut menganjurkan Majlis Makan Malam Buffet Kesyukuran sempena TBC 2009 di Taman Indah, Bukit Baru pada 4 Februari lalu yang dihadiri oleh 250 orang tetamu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Antara kenamaan yang hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu, dan Pengerusi MCA Bahagian Bukit Katil, Datuk Koh Nai Kwong. Sementara itu di Bemban, Program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena TBC 2009 telah diadakan di Dewan SRJK (C)Yu Sien, Bemban pada 5 Februari yang dihadiri oleh 250 orang tetamu pelbagai kaum.

Antara tetamu kenaman yang hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban Chua Kheng Hwa (ADUN Bemban) dan Pengurus MCA Cawangan Bemban, Datuk Chong Tham Onn.

JASA turut memberi dana untuk meraikan seramai 200 orang warga emas dan fakir miskin yang terdiri daripada kaum Cina. Menurut Pemangku Pengarah JASA Negeri, Sapian Abu Sop, sumbangan dan dana yang diberikan adalah untuk meringankan beban dan tanggungan warga emas dan fakir miskin bagi membuat persediaan menyambut perayaan TBC.

"Kesemua program sambutan TBC 2009 anjuran JASA turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri," katanya.

Majlis keempat anjuran JASA, Majlis Makan Malam Buffet Kesyukuran sempena TBC di Paya Ikan, Bukit Baru, pada 5 Februari lalu dihadiri oleh 150 orang terdiri daripada masyarakat setempat yang berbilang kaum.

Antara tetamu kenamaan yang hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu dan Pengerusi MCA Bahagian Bukit Katil, Datuk Koh Nai Kwong.