Wednesday, November 12, 2008

Aidilfitri Di Taman Kesang Damai Eratkan Semangat Kejiranan

Lebih 500 penduduk Taman Kesang Damai dan kawasan Kesang Jaya menghadiri majlis sambutan Hari Raya di Dewan Taman Kesang Damai, dekat sini, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kesang Damai, (PPTKD), Abu Samah Abd Hamid berkata, program yang menjadi acara tahunan persatuan penduduk itu turut dijayakan bersama oleh UMNO Cawangan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan.

Abu Samah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa merupakan tetamu khas yang diundang serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesang Jaya, Minhat Azam.

“Majlis ini membolehkan penduduk yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa bertemu dan ini akan dapat mengeratkan lagi semangat kejiranan di kalangan penduduk taman ini,”katanya.

Sementara itu, Chua berkata, langkah PPTKD mengadakan majlis jamuan hari raya dengan menjemput semua penduduk amat baik khususnya dalam usaha menyatupadukan penduduk.

“Saya amat kagum dengan semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengadakan program yang bukan sahaja dihadiri masyarakat Melayu, malah kaum India dan Cina juga ada.

“Ini menunjukkan semangat keharmonian di kalangan penduduk taman ini amat baik dan ianya seharusnya dikekalkan dan menjadi contoh kepada taman-taman lain yang akan mengadakan program seumpama ini,”katanya.