Monday, November 17, 2008

Guru Perlu Buat Perancangan Bantu Kecemerlangan Pelajar

Guru-guru di negeri ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban disaran mempertingkatkan lagi mutu profesionalisme mereka dalam mendidik anak bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa berkata, langkah mempertingkatkan profesionalisme itu penting dalam usaha memastikan mutu pendidikan sekolah terus meningkat dan dihormati.

Menurut Chua, bagi memastikan profesionalisme guru-guru terus meningkat dan berkesan, mereka perlu menghapuskan faktor dalaman dan luaran yang boleh mengganggu pembangunan mutu pelajaran di sekolah.

“Untuk menjadi guru dan sekolah yang berkesan serta pencapaian yang cemerlang dan gemilang, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh semua guru dan pelajar di sekolah.

“Pra syarat utama dan pertama ialah kesediaan dan kesanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah cara berfikir dan bertindak secara profesional dan yang paling penting ialah menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat,” katanya merasmikan Hari Kualiti Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Guru Besar sekolah tersebut, Halimah Din; wakil Pegawai Pelajaran Daerah Jasin, Tuah Talib; wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tehel, Ab Hamid Kamat dan Sidang Kampung Tehel, Abd Razak Rajis.Menurut Chua, beliau turut berharap semua guru dapat merancang aktiviti serta pembelajaran untuk murid pada tahun hadapan dengan lebih awal sebagai persediaan mengajar.

Katanya, dengan persediaan awal itu, ia sudah pasti tidak akan menyusahkan mereka terutama apabila musim persekolahan tahun hadapan bermula terutama dengan menerima kehadiran murid baru.