Wednesday, November 12, 2008

Amal Sikap Berjimat Cermat Rakyat Digesa Berbelanja Sekadar Yang Perlu

Masyarakat di negeri ini disaran berbelanja lebih berhemah serta mengamalkan sikap berjimat cermat dengan berbelanja sekadar yang perlu bagi menggelakkan pembaziran.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Negeri, Chua Kheng Hwa berkata, langkah ini adalah perlu bagi membantu mengurangkan kadar inflasi di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, berkata biarpun ekonomi negara masih berada dalam keadaan yang baik, langkah berjimat cermat adalah perlu kepada semua masyarakat.

“Masyarakat perlu sedar bahawa amalan berjimat cermat bukan sahaja hanya menguntungkan mereka, malah akan dapat membantu Kerajaan mengurangkan kadar inflasi.

“Biarpun keadaan kegawatan ekonomi negara kita tidak seteruk sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat ketika ini, namun kita hendaklah terus berbelanja sekadar perlu dan terus berjimat,” katanya.

Beliau berkata demikan di majis penyampaian sumbangan Hari Deepavali kepada 40 orang miskin dan warga emas dari kawasan DUN Bemban di Kompleks Japerun DUN Bemban, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi MIC Negeri, Datuk R Raghavan, Ketua MIC Bahagian Jasin, S Periammalai dan Timbalannya, S Sinnaya serta ahli barisan Jawatankuasa MIC Bahagian Jasin.Menurut Chua, beliau juga berharap golongan penerima bantuan tersebut akan dapat menggunakan sumbangan yang diberikan dengan sebaiknya serta menyambut hari Deepavali dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.