Wednesday, February 4, 2009

Peniaga diminta jaga kebersihan gerai

Peniaga Medan Selera Water Front di Bandar Baru Jasin 3 diingatkan supaya menjaga kebersihan di persekitaran gerai mereka. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Hussin berkata, pihaknya sudah melawat tempat terbabit untuk mengetahui mengenai masalah yang dihadapi peniaga.

“Daripada lawatan tersebut, kami memohon peniaga supaya menjaga kebersihan makanan, persekitaran serta aspek kemudahan yang disediakan pihak MPJ.

“MPJ yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa, mengadakan perjumpaan dan berdialog bersama-sama peniaga di situ.

“Mengenai masalah tempat meletak tong gas di belakang gerai mereka, kita akan berusaha membantu dan sudah sepakat untuk berbincang dengan pihak Shell mengenai masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Dijangkakan masalah ini akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun ini juga,” katanya. Dalam perkembangan lain, menurutnya, terdapat beberapa faktor menjadi punca medan selera tersebut kurang mendapat sambutan.

“Antara faktor yang dikenal pasti ialah kurangnya pelanggan yang datang makan digerai terbabit selain kurangnya papan tanda yang menyatakan terdapat medan selera di kawasan itu.

“Terdapat banyak kemudahan asas seperti tandas awam, telefon awam dan kedai runcit di sediakan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak MPJ sendiri akan menambah beberapa lagi papan tanda bagi membolehkan orang ramai datang ke medan selera itu.

Sebelum ini, Sinar Harian pada 1 Januari lalu menyiarkan masalah peniaga yang mahu tempat meletakkan tong gas di belakang gerai mereka dialihkan memandangkan tempat itu tidak lagi digunakan.

Tempat letak tong gas itu digunakan untuk menyimpan tong gas yang besar tetapi kebanyakan peniaga di medan selera itu tidak lagi memasak menggunakan tong gas yang besar.

Tempat letak tong gas itu dikatakan mencemarkan pemandangan pelanggan yang datang ke medan selera itu.

Sebelum ini, peniaga di medan selera itu pernah menghantar surat kepada pihak MPJ pada awal tahun lalu mengenai permasalahan mereka yang tidak mendapat tindakan susulan.

Sunday, February 1, 2009

ADUN Bemban menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa menyampaikan sumbangan bantuan kepada seorang mangsa kebakaran rumah, noraini Husin di Batu 19, jalan Chinchin, Jasin.

Bantuan sebanyak RM1,000 itu adalah sebagai membantu meringankan beban yang di tanggung ibu tunggal terbabit dalam meneruskan kehidupan bersama dua anak mereka yang berusia 18 dan 12 tahun.

Menurut noraini,kejadian kebakaran yang belaku kira-kira jam 4 petang itu bermula dari bahagian bumbung bilik tidur dan di sedari oleh anaknya yang kebetulan mahu memasuki bilik berkenaan.

"Selepas terlihat asap begitu banyak pada bahagian bumbung ,saya terus membawa anak-anak saya keluar dari rumah kerana api marak di dalam bilik dengan begitu cepat,"katanya.

Berikutan kejadian itu, Noraini tidak sempat meyelamatkan barangan yang ada di dalam rumah dan kini terpasa menumpang rumah saudaranya yang tinggal tidak jauh dari rumahanya.

Menurut Kheng Hwa, beliau mencadangkan supaya Noraini membuat pemohonan bantuan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi keselesaan mereka sekeluarga.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah telah mengadakan kunjungan dan ziarah kepada keluarga Noraini disamping menghulurkan sumbangan peribadi.

Turut hadir pada majlis penyampaian sumbangan itu ialah Setiausaha JAPERUN Dun Bemban, Nor Azmi Kadir dan Pengerusi Biro Pelajaran dan Pengajian Tinggi Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Mohd Nizam Omar.

2,000 Tetamu Kunjungi Rumah Terbuka ADUN BEMBAN

Lebih 2,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban bersempena sambutan Tahun Baru Cina di dewan sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Piao Chio.

Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuklah Ketua Menteri dan Isteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk seri Asmah Abd Rahman ; Speaker dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Mohamad, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah barisan EXCO kerajaan negeri dan ADUN-ADUN.

ADUN Bemban, Chua Kheng Hwa, berkata sambutan rumah terbuka DUN Bemban bermula pada jam 7 malam dan berakhir pada jam 11 malam.

Menurut Kheng Hwa, beliau dan isteri, Liow Jee merasa amat gembira dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu yang datang dari seluruh kawasan DUN Bemban dan kawasan sekitar bagi menyambut rumah terbuka anjuran JAPERUN DUN Bemban.

"Amalan kunjung mengunjung dan rumah terbuka telah terbukti berjaya menyatu padukan masyarakat di seluruh DUN Bemban dan saya mengucapkan terima kasih kepaa mereka yang hadir majlis ini,"katanya.

Thursday, January 29, 2009

Lampu Isyarat atasi Masalah Keselamatan Murid SK Bemban & SK Kesang Tua

Masalah untuk melintas jalan ketika mahu pergi dan pulang dari sekolah di dua buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban kini terjamin apabila lampu isyarat untuk melintas jalan dipasang di hadapan sekolah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa berkata, dua lampu isyarat telah di pasang di sekolah kebangsaan (SK)Bemban dan SK Kesang Tua.

Menurut Kheng Hwa, pemasangan lampu isyarat untuk melintas itu diharap akan dapat membantu mengatasi masalah murid di kedua-dua sekolah berkenaan untuk melintas sepertimana yang belaku pada tahun sebelum ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Jasin(MPJ) kerana lampu isyarat di kedua-dua sekolah ini.

"Ini secara tidak langsung akan mengatasi kesusahan kepada murid untuk melintas jalan dengan selamat,terutama ketika datang dan pulang kesekolah,"katanya.

Menurutnya, beliau turut berharap pengguna jalan raya yang melalui Jalan Bemban-Gapam dan sebaliknya serta Jalan Kesang akan memperlahankan kenderaan mereka semasa melalui kawasan sekolah terbabit.

Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan kenderaan di kawasan sekolah dan memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat hijau bertukar menjadi merah.

"Saya juga berharap ibu bapa supaya menasihati anak-anak mereka agar menggunakan kemudahan lampu isyarat yang disedikan demi keselamatan mereka semasa pergi dan pulang sekolah,katanya.

Monday, November 17, 2008

Guru Perlu Buat Perancangan Bantu Kecemerlangan Pelajar

Guru-guru di negeri ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban disaran mempertingkatkan lagi mutu profesionalisme mereka dalam mendidik anak bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa berkata, langkah mempertingkatkan profesionalisme itu penting dalam usaha memastikan mutu pendidikan sekolah terus meningkat dan dihormati.

Menurut Chua, bagi memastikan profesionalisme guru-guru terus meningkat dan berkesan, mereka perlu menghapuskan faktor dalaman dan luaran yang boleh mengganggu pembangunan mutu pelajaran di sekolah.

“Untuk menjadi guru dan sekolah yang berkesan serta pencapaian yang cemerlang dan gemilang, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh semua guru dan pelajar di sekolah.

“Pra syarat utama dan pertama ialah kesediaan dan kesanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah cara berfikir dan bertindak secara profesional dan yang paling penting ialah menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat,” katanya merasmikan Hari Kualiti Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Guru Besar sekolah tersebut, Halimah Din; wakil Pegawai Pelajaran Daerah Jasin, Tuah Talib; wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tehel, Ab Hamid Kamat dan Sidang Kampung Tehel, Abd Razak Rajis.Menurut Chua, beliau turut berharap semua guru dapat merancang aktiviti serta pembelajaran untuk murid pada tahun hadapan dengan lebih awal sebagai persediaan mengajar.

Katanya, dengan persediaan awal itu, ia sudah pasti tidak akan menyusahkan mereka terutama apabila musim persekolahan tahun hadapan bermula terutama dengan menerima kehadiran murid baru.

Wednesday, November 12, 2008

Amal Sikap Berjimat Cermat Rakyat Digesa Berbelanja Sekadar Yang Perlu

Masyarakat di negeri ini disaran berbelanja lebih berhemah serta mengamalkan sikap berjimat cermat dengan berbelanja sekadar yang perlu bagi menggelakkan pembaziran.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Negeri, Chua Kheng Hwa berkata, langkah ini adalah perlu bagi membantu mengurangkan kadar inflasi di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, berkata biarpun ekonomi negara masih berada dalam keadaan yang baik, langkah berjimat cermat adalah perlu kepada semua masyarakat.

“Masyarakat perlu sedar bahawa amalan berjimat cermat bukan sahaja hanya menguntungkan mereka, malah akan dapat membantu Kerajaan mengurangkan kadar inflasi.

“Biarpun keadaan kegawatan ekonomi negara kita tidak seteruk sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat ketika ini, namun kita hendaklah terus berbelanja sekadar perlu dan terus berjimat,” katanya.

Beliau berkata demikan di majis penyampaian sumbangan Hari Deepavali kepada 40 orang miskin dan warga emas dari kawasan DUN Bemban di Kompleks Japerun DUN Bemban, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi MIC Negeri, Datuk R Raghavan, Ketua MIC Bahagian Jasin, S Periammalai dan Timbalannya, S Sinnaya serta ahli barisan Jawatankuasa MIC Bahagian Jasin.Menurut Chua, beliau juga berharap golongan penerima bantuan tersebut akan dapat menggunakan sumbangan yang diberikan dengan sebaiknya serta menyambut hari Deepavali dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Aidilfitri Di Taman Kesang Damai Eratkan Semangat Kejiranan

Lebih 500 penduduk Taman Kesang Damai dan kawasan Kesang Jaya menghadiri majlis sambutan Hari Raya di Dewan Taman Kesang Damai, dekat sini, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kesang Damai, (PPTKD), Abu Samah Abd Hamid berkata, program yang menjadi acara tahunan persatuan penduduk itu turut dijayakan bersama oleh UMNO Cawangan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan.

Abu Samah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa merupakan tetamu khas yang diundang serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesang Jaya, Minhat Azam.

“Majlis ini membolehkan penduduk yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa bertemu dan ini akan dapat mengeratkan lagi semangat kejiranan di kalangan penduduk taman ini,”katanya.

Sementara itu, Chua berkata, langkah PPTKD mengadakan majlis jamuan hari raya dengan menjemput semua penduduk amat baik khususnya dalam usaha menyatupadukan penduduk.

“Saya amat kagum dengan semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengadakan program yang bukan sahaja dihadiri masyarakat Melayu, malah kaum India dan Cina juga ada.

“Ini menunjukkan semangat keharmonian di kalangan penduduk taman ini amat baik dan ianya seharusnya dikekalkan dan menjadi contoh kepada taman-taman lain yang akan mengadakan program seumpama ini,”katanya.